Monday, May 30, 2011

Sejarah TLDM

Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat

Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia boleh bermula dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat - Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR)- yang telah ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British negeri-negeri selat pada 27 April 1934 di Singapura. SSNVR ditubuhkan untuk membantu Tentera Laut Diraja British mempertahankan kawasan perairan Tanah Melayu ekoran perkembangan dan pergolakan politik di Asia di mana Empayar Jepun sedang meluaskan kuasa dan pengaruhnya. Pembentukan sebuah cawangan di Pulau Pinang menyaksikan berkembangnya SSNVR.


Pada 18 Januari 1935, pihak pentadbiran tertinggi (Admiralty) Royal Navy telah menghadiahkan SSNVR di Singapura dengan sebuah kapal korvet kelas Flower, HMS Laburnum untuk berkhidmat sebagai kapal utama dan kapal latihan SSNVR. Kapal ini telah berlabuh di pangkalan di Telok Ayer Basin. HMS Laburnum malangnya telah ditenggelamkan oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus di Eropah, SSNVR telah meningkatkan pengambilan rekrut bagi mengukuhkan pertahanan Tanah Melayu memandangkan unit- unit Royal Navy diperlukan di medan operasi Eropah. SSNVR juga telah dikerahkan untuk perkhidmatan aktif sebagai unit dalam Royal Navy Malay Section, juga dipanggil Royal Malay Navy ataupun Malay Navy dengan kekuatan seramai 400 orang anggota. Pasukan ini telah menjalani latihan di HMS Pelandok, Sembawang,di Singapura. Keanggotaan Malay Navy kemudiannya meningkat kepada 1450 orang apabila perang meletus di Asia Tenggara.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, Malay Navy berkhidmat di bawah tentera bersekutu dan ditugaskan bersama-sama dibawah panji-panji Royal Navy.Laskar-laskar Malay Navy terlibat bersama Royal Navy di medan operasi di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan sebilangan mereka terkorban ketika ini. Ramai juga yang telah berkhidmat dengan cemerlang, antaranya ialah Able Seaman Ramli Mohd Said yang telah dianugerahkan pingat Pacific Star oleh kerajaan British. Apabila perang tamat dengan penyerahan kalah Jepun pada tahun 1945 hanya sekitar 600 anggota melapor diri semula. Pada tahun 1947, pasukan Malay Navy yang kecil ini telahpun dibubarkan akibat kemelesetan ekonomi.

Era selepas Perang Dunia Kedua

Pada 24 Disember 1948, Darurat diisytiharkan di Tanah Melayu akibat ancaman pengganas komunis. Menyedari kepentingan tentera laut bagi membendung ancaman komunis, pihak British mengaktifkan semula Malay Navy dan kali ini digelar Malayan Naval Forces , MNF. Tarikh 4 Mac 1949 menyaksikan hari perasmian dan penubuhan Malayan Naval Forces yang berpangkalan di HMS Malaya, Woodlands, Singapura.

Misi utama MNF ialah mengawasi pesisir pantai Tanah Melayu bagi menghalang pengganas komunis daripada memperoleh bantuan bekalan melalui jalan laut. Angkatan ini juga diberi tugas mengawal laluan ke Singapura dan pelabuhan-pelabuhan lain.

Malayan Naval Forces dibekalkan dengan sebuah frigat kelas River HMS Test yang turut digunakan sebagai kapal latihan. Pada tahun 1950 pula dengan sebuah kapal minelayer bekas tentera Jepun, juga dinamakan HMS Laburnum, sebuah LCT, HMS Pelandok, sebuah kapal penangkap ikan, HMS Panglima, sebuah kapal torpedo HMS Simbang, dan beberapa kapal kecil lagi.

Gelaran Diraja

Pada bulan Ogos 1952, Ratu Elizabeth II telah mengurniakan gelaran ‘Diraja’ kepada MNF, menjadikan MNF kini dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaya (Royal Malayan Navy) di atas perkhidmatan MNF yang cemerlang ketika Darurat. Kapal-kapal TLDM kini mempunyai imbuhan HMMS: Her Majesty's Malayan Ship sebelum namanya.

Era Kemerdekaan dan selepas Kemerdekaan

Tentera Laut Diraja Malaya akhirnya diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958[1]. Penaikan panji Tentera Laut Persekutuan secara rasminya menandakan TLDM memikul tanggungjawab untuk mempertahankan perairan persekutuan. TLDM memulakan tugasnya hanya dengan sebuah pangkalan pusat di HMMS Malaya dan sebuah armada kecil yang terdiri daripada sebuah kapal LCT, 2 buah kapal penyapu ranjau (minesweeper) kelas Ham, dan 7 buah kapal ronda.

Pada 16 September 1963, TLDM dinamakan sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (juga sebagai TLDM) setelah pembentukan Malaysia.

Kekuatan TLDM bertambah secara beransur-ansur setelah Malaysia dibentuk. 18 buah bot ronda kelas Keris telah ditempah dari firma Vosper, dan bot-bot ini membentuk kekuatan pengawasan TLDM untuk tahun-tahun akan datang. Bot sepanjang 103 kaki ini berfungsi dengan enjin disel dengan kelajuan maksima 27 knot. Walau bagaimanapun, bot kelas Keris hanya dihadkan sebagai bot peronda pesisir pantai kerana mempunyai ketahanan operasi yang rendah.

Selepas itu, kekuatan berperang TLDM bertambah dengan pembelian bot serang laju kelas Brave dari firma Vosper sebanyak 4 buah. Kapal ini juga dikenali sebagi kelas Perkasa dan dibina khas untuk TLDM dalam limbungan Vosper Thorneycroft pada tahun 1967. Kapal serang laju Perkasa ini dilengkapkan dengan empat torpedo 21’’, sebuah meriam Bofors 40mm, dan satu meriam 20mm di bahagian buritan. Perkasa mempunyai kelajuan sehingga 54 knots (±100 km/jam).

TLDM mendapat sebuah lagi kapal apabila Royal Navy memindahkan frigat kelas Loch HMS Loch Insh (K433) kepada TLDM pada tahun 1964. Loch Insh dinamakan semula sebagai KD Hang Tuah (F433). Semasa Konfrontasi,KD Hang Tuah mengambil alih tugas pengawalan di perairan Tawau, Sabah dari HMAS Yarra. KD Hang Tuah berkhidmat dalam armada TLDM sehinggalah kapal ini dilucutkan tauliah pada tahun 1970 dan dilupuskan.

Pada tahun 1977 pula TLDM memperoleh frigat HMS Mermaid dari Royal Navy bagi menggantikan Hang Tuah yang tidak lagi berkhidmat. Kapal ini juga dinamakan Hang Tuah, (F72) KD Hang Tuah. Hang Tuah merupakan sebuah frigat seberat 2,300 tan bersenjatakan meriam berkembar 102 mm. KD Hang Tuah masih berkhidmat kini menjadi kapal latihan.

KD Rahmat (F24) menyertai armada TLDM pada tahun 1972. Kapal frigat ringan seberat 2,300 tan ini merupakan antara model rekaan firma Yarrow untuk TLDM. Pada awalnya Rahmat dinamakan sebagai KD Hang Jebat, namun disebabkan masalah sewaktu ujian pentauliahan, kapal ini dinamakan sebagai KD Rahmat. KD Rahmat merupakan kapal perang pertama TLDM yang dilengkapi sistem misil anti udara iaitu Sea Cat[2], Rahmat telah dilucutkan tauliah pada tahun 2004.

TLDM membeli lagi beberapa jenis bot serang laju peluru berpandu diantara tahun 70an-80an. Bot-bot ini adalah 4 buah kelas Combattante II yang dibeli dari Perancis, dan 4 buah kelas Spica M dari Sweden. Kedua-dua kelas ini dilengkapkan dengan misil Exocet MM38. TLDM turut memperoleh 2 buah Offshore Patrol Vessel (OPV) kelas Musytari seberat 1,300 tan rekaan Korea Selatan.

Keperluan menghantar tentera dan peralatan melalui jalan laut (military sealift) turut dipenuhi apabila TLDM membeli kapal-kapal Landing Ship Tank, LST dari Amerika Syarikat. Kapal- kapal yang dibeli adalah KD Sri Banggi (A1501), bekas USS Henry County, KD Raja Jarom (A1502), bekas USS Sedgwick County, KD Sri Inderapura (A1505), bekas USS Spartanburg County. Kebolehan tambahan turut diperoleh dan disediakan dengan 2 kapal sokongan pelbagai fungsi seberat 4,300 tan, 100 meter KD Sri Indera Sakti (A1503) dan KD Mahawangsa (A1504).

Keupayaan menangani ancaman periuk api disediakan oleh 4 kapal minehunter kelas Mahamiru. Kapal-kapal ini juga dikenali kapal penyapu ranjau kelas Lerici. Tugas hydrografi diserahkan kepada KD Perantau dan KD Mutiara.

Sejumlah kapal TLDM telah dilucutkan tauliah dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). APMM telah menerima 17 buah kapal dari armada TLDM dengan pemindahan secara hot transfer untuk perkhidmatan APMM. 6 buah kapal diserah kepada APMM pada Ogos 2005 dan 7 lagi pada Januari 2006.

0 comments:

Post a Comment

iklan

About Me

My photo
batch 13 palapes laut uitm juga dikenali sbgai pommel 13,..

sayang-sayangku...

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best Buy Coupons